Thursday, October 4, 2012

Lari pecut..

Gambar disedut kat google.


Waktu berputar mengikut normanya. Saat. Minit. Jam. Hari ke tahun. Manusia menghirup udara mengikut normanya. Kerja. Ibadah. Lena. Kasih. Jasmani ke Ilmu. Indah ciptaan tuhan buat semesta alam. Serba lengkap. 

Dalam menggagahi waktu aku sering terbayangkan masa di depan sana. Kadang-kadang rasa macam gelisah tak tentu arah. Siapalah kau nak lakarkan masa yang manis-manis sahaja. Tangguh-menangguh. Bersosial di internet termasuk mengadap twitter, facebook dan yang terbaru instagram. Merayap. Melangak atau lebih femes dengan gelaran melepak. Tidak lupa juga monghabehkan boreh (menghabiskan beras). Aku syak aktiviti-aktiviti kurang sihat ini lah yang selalu buat aku ruam punggung memikir masa depan sana. Dan aku syak masih banyak aktiviti kurang sihat yang masih berleluasa dalam kehidupan seharian aku. 

Tidak salah bagi aku, kau berfoya-foya cuma ingat satu jangan LOST. Peringatan keras kepada aku juga. Berfoya-foya juga salah satu proses kematangan mengikut fahaman aku. Waktu tak tunggu kau, tak tunggu aku. Kita yang kena berlari mendahulu nya. Jadi mari kita kuatkan kekuda. Kita pasang langkah lari dan pecut dengan laju. Jauh mana kau nak pergi ikut suka hati.


Oh sebelum terlupa sekarang aku dalam musim peperiksaan akhir semester 5. Doakan aku berjaya. Terima kasih. Dan sepatutnya aku dah lari dari komputer. Lari dari menulis tulisan ini. Tapi apa kan daya.


Baiklah aku lari dulu. Lari bertemu formula. Lari bertemu teori-teori. Lari mencari kejayaan.

Tuesday, August 7, 2012

Kari Ayam dan Ramadhon.

Hari ini 4 Ogos 2012 masihi. Hari ini juga 15 Ramadhan 1433 hijrah. Masa tidak pernah perlahan kebelakangan ini. Putaran masa semakin pantas. Kita di pertengahan Ramadhan. Salam Ramadhan aku ucapkan kepada semua muslimin muslimat. Kiranya macam sedikit lambat. Sibuk.

Gambar ditaja oleh google image.

15 Ramadhan ini puasa yang manis. 15 Ramadhan ini aku di rumah. 15 Ramadhan ini aku dapat nikmat berbuka masakan penuh kasih. Setelah lama wan tidak masak sejak dia sakit tapi pagi tadi wan beriya-iya sangat nak masakkan aku kari ayam untuk aku berbuka. Walau aku tahu memang wan dah tak larat nak masak kan kari ayam tu. Wan tetap gagahkan diri. Aku tak minta tapi wan memang nak masak kan. Pagi-pagi lagi dia dah bising minta si Paiq ke kedai belikan barang dapur. Nak masak kari ayam untuk abang kata nya kedengaran sayup-sayup dari bilik sedang aku masih mamai diulit mimpi.


Memang aku dapat layanan istimewa dari wan. Adik-beradik yang lain terkadang cemburu aku perhatikan. Sejak dari kecik lagi aku memang rapat dengan wan. Wan bela aku dari kecik sampai sekarang. Dari makan sehingga ke pakai. Semua dibawah jagaan nya. Walau aku hampir mencecah 20an ini masih lagi dia setia membela aku. Kalau hendak diceritakan semua memang nanti anda semua yang cemburu.


Selesai masak aku dengar wan merungut dengan ibu. Katanya den dah tak larat nak masak dah sekarang, tak boleh berdiri lama-lama, nak pengsan rasanya. Mungkin dialog tersebut lebih pekat loghat negeri nya. Ibu hanya memujuk wan, tak payah masak lain kali emak tu dah tak macam dulu lagi dah. Aku menahan sebak dalam bilik. Aku tahu mungkin itulah kari ayam terakhir dari wan. Tapi aku dah lama redho. Sejak wan sakit. Program berbuka bersama kawan aku tangguh kan hari tu untuk memberi peluang kepada kari ayam kegemaran aku. 


Terima kasih tuhan. Terima kasih tuhan. Terima kasih tuhan


Terima kasih kau masih panjangkan umur wan untuk 15 Ramadhan ini. Terima kasih kau beri kekuatan untuk  wan masak kan kari ayam itu. Aku syukur.



Wan pada Syawal 1432.


Monday, July 9, 2012

Warkah 6 Julai yang tertangguh.

Adinda.


Selamat ulang tahun ke 14 kali nya adinda Adly. 
Mungkin lewat beberapa hari. Maaf. Sibuk melayan urusan dunia.
Tiada hadiah istimewa cuma beberapa potong ayat buat Adly.

Semoga setahun yang akan datang di isi dengan amal.
Semoga setahun yang akan datang sentiasa dalam lindungan tuhan.
Semoga setahun yang akan datang lebih positif dari hari-hari sebelum nya.

Semoga setahun yang akan datang sentiasa menjadi anak yang soleh.
Semoga sethaun yang akan datang menjadi kan Adly lebih matang berfikir tentang kehidupan.

Semoga setahun yang akan datang Adly akan lebih berjaya dalam pelajaran.

Doa abang sentiasa buat adik-adik. Semoga tuhan sentisa mendengar rayuan abang untuk adik-adik.

Sekali lagi, selamat hari lahir adinda Mohd Syamir Adly Bin Mohd Arif.





Wednesday, June 27, 2012

Rekod masa Rentis Gunung Tahan (Merapoh-Kuala Tahan)

Papann tanda kemenangan.


16 Jun - 22 Jun 2012
21 Pendaki
18 Lelaki
3 Wanita 

Sabtu 16 Jun 2012
2030 - Tiba pada waktu nya di KL Sentral dari Seremban. Naik Senandung Wau terus pecut ke Kuala Lipis.

Ahad 17 Jun 2012
0010 - Stesen KTM Gemas. Aku terasa seperti berada di zaman asing. Masih mengekalkan seni bina lamanya. Kagum.

0630 - Stesen KTM Kuala Lipis. Tidak jauh beza seperti stesen Gemas. Klasik.
0700 - Keretapi shuttle ke Merapoh.
0730 - Stesen Merapoh. Kabus sederhana tebal kelihatan sehingga jam 0800 disini. Pembangun masih asing di Merapoh.

0830 - Diangkut 4WD ke Pejabat Taman Negara Pahang Sungai Relau.
0900 - Pejabat TNP Sungai Relau dan terus dikerah untuk declare setiap barangan yang dibawa.
1100 - Sekali lagi diangkut 4WD ke "starting point" Kuala Juram. Menyaksikan Ikan Kelah di Santuari Kelah.

1120 - Makan tengahhari *lunch pack*
1230 - Kembara melalui Rentis Gunung Tahan bermula. Meredah 4 sungai. Destinasi pertama Kuala Luis 5km dihadapan.

1355 - Kuala Luis. Ketinggian 306m. Ambil nafas. Kering peluh. Mara terus ke Lata Luis 6km ke depan.
1610 - Lata Luis. Ketinggian 558m. Air terjun yang sangat indah. Tinggi nya mungkin 30m. Keinginan untuk mandi terpaksa ditangguhkan. Cuma sempat bergambar sebagai memori. Mara lagi 2.5km ke hadapan untuk ke Kem Kor.

1700 - Kem Kor. "Ground sheet" dibentang "Fly sheet" dipasak. Bersedia untuk bermalam di sini.
1800 - Mandi. Nyaman air sungai tak tercemar.
1930 - Mula memasak. Bantu apa yang boleh.
2130 - Makan malam. *Nasi, sambal ikan, kobis masak lemak*
2200 - Selamat malam Kem Kor. Lena.

Isnin 18 Jun 2012
0700 - Selamat Pagi Kem Kor. Dingin.
0800 - Sarapan pagi. *Kuey tiaw goreng*
0900 - Kembara hari kedua bermula ke Permatang 2.5km ke depan. Bukit "Good Morning".
0950 - Permatang. Ketinggian 874m. Kembara diterus ke Kubang 3.5km di depan. Bukit taubat. Trek yang "super" pacak tapi dibantu dengan tiupan angin yang nyaman. Kaki dan tangan dikerah sepenuh nya.

1220 - Kubang. Ketinggian 1406m. Angin bertiup sedikit kencang disini. Suasana dingin sesekali mengigit tulang-temulang. "Sweater" disarung bagi menghangatkan jasad sementara menunggu mereka yang lain tiba.

1310 - Makan tengahhari. *Nasi impit, Sambal daging*
1445 - Setelah kesemua ahli kumpulan tiba kembara diteruskan ke Belumut. 1.5km dari Kubang. Dalam perjalanan kelihatan seekor ular hijau berkepala seakan segi tiga bermata merah.

1520 - Belumut. Ketinggian 1705m. Seperti nama nya. Persekitaran disini seakan ditumbuhi lapisan lumut hijau yang indah.

1545 - Kembara 5.5km ke Kem Bonsai. Pacak.
1750 - "Viewpoint". Dari sini kita boleh melihat puncak Tahan dengan jelas. Indah.
1935 - Kem Bonsai. 1705m ketinggian nya. Oleh kerana beberapa ahli kumpulan mengalami kecederaan maka plan awal untuk turun ke Kuala Tahan dibatalkan. Turun Kembali ke Merapoh. Memandangkan hari sudah gelap jadi kami mencapai kata sepakat untuk bermalam di Kem Bonsai. 

2100 - Makan malam. Terpaksa makan roti dengan lebihan makanan tengahhari kerana tiada sumber air berdekatan dengan Kem Bonsai. Bekalan air ahli kumpulan juga terhad. Bintang dilangit hilang menandakan hujan mungkin turun. Kawasan tadahan air diwujudkan. Mungkin boleh menampung bekalan air untuk pagi esok.

2230 - Selamat malam Bonsai. *Hujan*

Selasa 19 Jun 2012
0730 - Selamat pagi Bonsai.
0800 - Sarapan pagi. *Biskut bersama air panas hasil dari tadahan hujan*
0830 - Berkemas.
0900 - Kembara ke sejauh 3km ke Kem Botak. Tiada kata yang mampu menterjemah keindahan pemadangan sekitar ke Kem Botak. Subhanallah. Flora seperti periuk kera menghiasi lagi. Perjalanan menjadi lambat kerana sibuk mengambil gambar kenang-kenangan.

1020 - Kem Botak. Ketinggian 1943m. Syukurr kepada tuhan terdapat sumber air disini.
1200 - Mula memasak.
1300 - Dikesempatan ini aku mandi air yang seakan bertakung dalam sebuah telaga besar yang tak pernah kering. Seharian tidak mandi semalam. Dingin air masih terasa walaupun matahari betul-betulk hangat diatas. Cuaca di Kem Botak tidak menentu. Terkadang panas terkadang sejuk.

1500 - Makan tengahari. *Nasi lemak, sambal sardin, ikan bilis goreng*
1700 - Kembara ke puncak. Momen ini yang paling ditunggu. Terasa tidak percaya tapi itulah realiti. Perjalan sejauh 2.5km yang penuh santai. Tak mahu ketinggalan satu momen bahagia mendaki ke puncak ini. Dan tanpa diduga perut aku meragam buat pertama kali nya. Sepantas kilat aku memecut kedepan dan melepas kan hajat. Mujur semuanya lancar.

1800 - Puncak Gunung Tahan. Ketinggian 2187m dan bersuhu 19 darjah celcius. Bagai mimpi jadi nyata. Terkesima aku melihat indah nya ciptaan tuhan. Penat lelah hilang. Sakit lebam sembuh. Ritual mengambil gambar memang satu kewajipan.

1900 - Sedih bercampur bangga meninggalkan puncak Tahan. Sementara menurun puncak sempat juga aku melayan tenggelam nya sang mata langit yang satu.

1950 - Kem Botak.
2100 - Pertama kali aku diajar bermain permainan kad. Aku sungguh teruja belajar.
2130 - Ahli dapur mula memasak.


Dalam perjalanan menuju kejayaan.

Rabu 20 Jun 2012
0000 - Makan malam. *Ayam masak merah, acar nenas, papadom*
0010 - Selamat malam Botak.
0830 - Selamat pagi Botak.
0900 - Berkemas.
1130 - Sarapan pagi.
1230 - Kembara turun ke Kubang.
1245 - Bonsai.
1300 - Kembara ke Viewpoint.
1345 - Viewpoint.
1500 - Kembara ke Kubang bersambung.
1605 - Belumut.
1615 - Kembara turun ke Kubang diteruskan.
1715 - Kubang. Membina penempatan sementara untuk bermalam disini.
1800 - Kembara ke "water point" Kubang. Dua bukit di depan. Pacak. Kaki luka semasa perjalanan balik terpijak akar tajam.

1910 - Sesi memasak malam ini diketuai oleh Cheff John. Cekap. Kpi beliau tercapai.
2030 - Makan malam. *Telur kicap, sup sayur, ikan masin*
2200 - Selamat malam Kubang.
2345 - Terjaga dari lena kerana hujan. Terpaksa buat aliran air hujan bagi mengelakkan khemah banjir.

Khamis 21 Jun 2012
0800 - Bangun.
0930 - Sarapan. *Spaghetti, Sup cendawan*
1030 - Kembara turun ke Kuala Juram.
1135 - Permatang.
1140 - Kembara ke Kuala Juram diteruskan.
1230 - Kem Kor.
1315 - Air terjun Lata Luis. Sempat melepaskan hajat yang tak tercapai sebelum ini. Berendam. Makan tengahari. *Nasi goreng*

1400 - Kembara ke Kuala Juram diteruskan.
1530 - Kuala Luis. sekali lagi aku mengambil kesempatan untuk bermandi mandi. 
1605 - Kembara ke Kuala Juram bersambung. Perjalanan hanya berbaki 6km untuk sampai ke 'starting point'. Gembira nya hati.

1650 - Kuala Juram dengan selamat nya. Syukur.
1900 - Mandi.
2000 - Chef John sekali lagi mengambil alih dapur bersama Kak Rose untuk memasak.
2115 - KPI berjaya. Makan malam. *Sardin kicap, ikan masin goreng cili api, sup kentang, telur dadar masak merah* mewah makan malam terkahir.

2300 - Main declare.
0000 - Selamat malam Kuala Juram.

Jumaat 22 Jun 2012
0800 - Selamat pagi Kuala Juram.
0900 - Sarapan pagi. *Meehoon sup*
0930 - Berkemas sambil menunggu 4WD sampai.
1030 - Diangkut 4WD terus ke Pejabat Taman Negara Pahang Sungai Relau.
1100 - Pejabat TNP Sungai Relau. Declare barang. Cas telefon bimbit. Bertukar-tukar nombor telefon. Tidak kurang juga Facebook.

1230 - Diangkut 4WD ke perhentian bas yang terdekat. Merapoh 


Memperkenalkan rakan seperjuangan. Shafiq.


Aku percaya tiada seorang pun yang singgah ke entry kali ini akan membaca se “detail” setiap jam yang aku catatkan. Tak mengapa. Aku cuma mahu berkongsi pengalaman. Sejak dari bangku sekolah lagi aku dah bercita-cita untuk sampai ke puncak Tahan. Syukur tuhan makbulkan. 

Kos trip ini adalah hasil daripada wang kerja aku semasa cuti semester. Dan boleh aku katakan ini lah pelaburan wang gaji yang paling berbaloi sepanjang hidup aku. 

Terlalu banyak pengalaman dan ilmu yang aku timba dari Taman Negara Pahang. Membentuk karakter aku sedikit demi sedikit. Mungkin pada awal kembara aku sedikit kekok untuk bercampur dengan ahli kumpulan yang lain namun aku berjaya atasi nya. Syukur mereka boleh menerima kehadiran budak mentah ini kedalam dunia mereka. Kenalan baru bertambah. Manis. Terima kasih semua untuk perkenalan ini. Moga kita berjumpa lagi di lain trek jika diizin tuhan.

Walaupun perancangan untuk turun ke Kuala Tahan terbantut namun aku tetap gembira. Mungkin tuhan dah tulis rezeki aku kali ini setakat itu. Tapi aku berjanji suatu hari nanti aku akan cuba laksanakan impian itu. Dan walaupun berlaku sedikit konflik diantara ahli kumpulan dengan pihak penganjur namun ia tidak mencacatkan langsung misi utama aku selama hampir seminggu disana. 

Kepada pihak penganjur diharap dapat meneliti semula dimana kurangnya. Mungkin mereka lebih arif berbanding budak baru macam aku. Pada pandangan aku menitikberatkan hal-hal yang mungkin dianggap remeh itu perlu demi menjaga keharmonian sesebuah kumpulan itu. Muafakat dan komunikasi yang baik penting bagi aku untuk program-program yang melibatkan satu komuniti manusia yang baru sahaja mengenali antara satu sama lain. 

Dua perkara yang aku kurang berpuas hati dengan trip kali adalah berkaitan dengan pengurusan masa sepanjang trip dan juga pengurusan kewangan. Kos asal trip yang berjumlah RM388 yang aku jangkakan sememangnya sudah lebih cukup untuk perbelanjaan namun terpaksa ditambah lagi dengan RM47. Bagi seorang mahasiswa seperti aku perkara ini memberi beban walau jumlah yang ditambah tidak sebesar mana. Kebanyakkan ahli kumpulan juga tidak berpuas hati dengan kos yang ditambah ini. Harapan semoga penganjur dapat membaiki kesilapan dan merancang dengan lebih baik pada masa depan. Kerana kepuasan hati itu akan meninggalkan cerita yang manis. Dan harapnya pihak penganjur tidak terasa hati dengan komen yang membina ini. Sama-sama lah baiki. Apa-apa pun puncak Tahan telah ku tawan. Syukur !

Terima kasih Shafiq, Kak Rose, Abang John, Abang Syed, Abang Din, Abang Akmal, Kak Lily, Kak Kema, Abang Syafiq, Abang Kamal, Pak Cik Kamal Hashim, Abang Paka, Abang Jai, Abang Jebbon, Abang Hafis, Abang William dan rakan-rakan nya, Ridhwan, Abang Mat Besi, Guide-guide yang bertugas dan abang-abang yang lain. *maaf aku lupa nama*


Kelab Pemuda Keadilan Cawangan Kumpung Durian Sebatang.


The gangsta. Lain-lain gambar akan dimuat naik kemudian.




Sunday, June 10, 2012

idealogi karat#3




Jalani hidup seperti layang-layang,
Walau dia merdeka meneroka ruang udara tanpa sempadan,
Walau dia merdeka beramah bersama kumpulan burung mesra,
Tapi dia itu masih dikawal satu urat benang halus,
Tak akan dia hilang pedoman,
Percaya lah.

Wednesday, June 6, 2012

Catatan Kuale Kangsor 2012.

Satu scene baru dalam hidup aku. Scene yg lama aku idam kan dari jaman sekolah lagi. Syukur  tuhan makbulkan. Bermula sebagai seorang poser sekarang sedikit demi sedikit ilmu itu aku timba. Memang aku tak nafikan mana-mana scene memang kita bermula sebagai seorang poser. Yang membezakan nya bagaimana kau ubah tittle tadi kepada sesuatu yg baru.

Entry kali ini aku mahu ceritakan pengalaman pertama aku berkonvoi motosikal lama, vespa “Old Bugs Never Die”. Destinasi di tuju Bandar Diraja Kuala Kangsar Perak. Bermula dari tanah kelahiran aku Seremban. Event diberi nama Karnival Vespa, Lambretta dan Motor Klasik Internasional. Lebih popular dikalangan penunggang vespa dengan panggilan Kuale. Event Kuale sememangnya menjadi idaman bagi kami-kami ini. Kebiasaan berlangsung pada bulan April sehingga terlahir satu frasa kata “ingat April ingat Kuale” namun atas beberapa sebab event Kuale tahun ini ditunda pada bulan Jun.  2 Jun 2012.

Hentian pertama di Rawang.
Kembara ke Darul Ridzwan bermula jam 6 petang Jumaat  1 Jun 2012. Sebanyak lima biji vespa bergerak dengan kelajuan normal berbekal kan semangat sehangat api serta disuntik sedikit dengan keazaman yg jitu. Kami-kami ini masing-masing nya mahukan kejilakaan itu dijauhkan sepanjang kembara. Syukur kembara dilindungi tuhan semeta alam. Lebih kurang 7 jam meredah lebuhraya membelah bayu malam. Terkadang itu terasa gigitan mesra bayu tersebut tepat ke tulang-temulang. Sejuknya bayu tersebut belum cukup memadamkan hangat nya semangat kami walau sedikit. Malah rasa lenguh-lenguh, sengal-sengal sendi jugak tidak cukup mematahkan semangat itu. Kami tekad. Percaya lah.

Perhentian terakhir Sungai Siput barangkali.
Dan sampai ke tapak karnival.
Bercerita tentang hari event. Satu perkataan yg aku rasa paling tepat adalah liar. Ya, liar. Suasana disana tidak lekang dengan deruman-deruman tabung ekzos dari jentera-jentera yg hadir. Bagi newbie macam aku memang gayat jakun lah jawapan nya cuma aku seboleh nya cuba berlagak macho di hadapan hadirin yg hadir. Keinginan nafsu aku jelas berbayar disini. Setelah lama dipendam. Pelbagai jenis jentera-jentera lama yg lahir sebelum aku sendiri jatuh ke planet bumi ini berhimpun. Puas. Berusia puluhan tahun masih lagi gagah di jalan raya. Syabas. Anak muda sehingga lah ke generasi atuk-atuk aku dari seluruh pelusok tanahair berkumpul mempamerkan kegagahan jentera masing-masing. Bertukar-tukar idea. Berjumpa mungkin setahun sekali ini sahaja. Event turut disertai dari negara jiran Thailand. Seribu kenangan terpatri di bandar di raja Darul Ridzwan. Panjang umur tahun depan kita berjumpa lagi.
Sebahagian dari nya.

Jogetkeras.

Aleq.

Si kembar juara. Tempat ketiga ketegori ubahsuai. Tahniah.

Si kembar yg memukau. Kelajuan di luar batasan.

Ps150 yg kemas.

Rally 200 di sembur lukisan.

Lambretta milik Ironman.

Kombinasi warna yg menggamit memori.

Kuale kangsor.

Enduro 125. Gila-gila remaja.

Antara jentera klasik yg menarik perhatian.

Kombi kuning idaman, Suatu hari kau milik aku. Tekad.

Volkswagen. Old Bugs Never Die.

Spisis rare kepala bana.
Selamat sampai di seremban.syukur.
Gambar-gambar diambil mengguna telefon bimbit sahaja. Maaf atas resolusi yg rendah. Moga nya anda semua terhibur.

Inilah jentera aku. Ps150. Pelan-pelan kayuh. 

Sunday, May 13, 2012

Koleksi JK #001

Ruangan baru dalam blog tiada penghuni ini. 
Aku gelar nya koleksi manipulasi photoshop. 
Koleksi manipulasi photoshop yang aku kongsikan di sini adalah hasil dari imaginasi aku. 
Sebahagian nya mungkin dari karya kawan yang berjaya menyentuh perasaan aku.
Aku sememang manusia yang kuat berimaginasi dan photoshop menjadi medium aku menzahirkan imaginasi ini.
Harap nya kalian terhibur dengan karya untuk edisi pertama ini.

Manusia separa Oktopus dari alam angker.

Empayar Bersaudara.

p/s : double click pada gambar untuk proses pembesaran tulang temulang.






Sunday, March 18, 2012

idealogi karat#2

Segala sesuatu di planet Bumi ini terjadi atas akibat satu daya. 
Daya yang aku dan engkau kenal sebagai usaha. 
Yang membataskan daya ini adalah kehendak Tuhan semeta alam.
Tuhan juga punya hak memakbulkan daya itu.
Selagi termampu mari berusaha.
Usahakan sesuatu yang diminati.
Usahakan untuk bekal kehidupan dihadapan.
Usahakan untuk kejayaan.
Jangan pernah berhenti berusaha.
Jangan pernah putus harap
Ingat, Tuhan ada.

Wednesday, February 29, 2012

Menyeluruh.

Syamil bagi pengamal bahasa Arab difaham sebagai menyeluruh. Menyeluruh bagi pengamal bahasa Melayu difaham sebagai ingin tahu, ingin serta,  dalam bermacam hal atau dalam bahasa percakapan harian kita-kita ini "semua dia nak". Manusia yang digelarkan Syamil pasti akan sedikit sebanyak membawa perwatakan ini dalam kehidupan mereka. Aku tak menafikan. Memang nama membawa pengaruh besar dalam ragam manusia. Sebagai manusia kita mesti pandai membawanya.

Sejak akhir ini baru aku tersedar yang dengan jelas sekali nama itu sebenarnya sudah lama menguasai jasad kaku aku ini. Entah macam mana di masa-masa lalu aku sedikit tidak sedar akan kehadiran makna nama aku. Memang aku jenis manusia yang "semua dia nak". Sekali lagi aku tak nafikan. Sejak dari  jaman anak-anak lagi aku terbimbing dengan sendiri oleh sikap itu. Makin ketara bila di bangku sekolah menengah.


Bermula dengan era kegemilangan shuffle. Aku dengan langkah radikal menggabungkan sekumpulan penggiat seni shuffle untuk diketengahkan. Tercetus lah fenomena CLC suatu ketika dahulu di tanah Seremban. Aku lakukan demi minat mendalam terhadap musik EDM. CLC bukan sekadar kumpulan picisan. Menang beberapa pertandingan dan diundang untuk persembahan juga. CLC ada kejayaan tersendiri. Tapi era berlalu CLC bubar tapi soul itu masih ada sehingga hari ini.


Dalam hal sukan pula, aku cuba menceburkan diri dalam sukan extrem. Papan selaju ternyata tepat menyentuh jiwa aku. Segalanya bermula setahun lebih lepas. Masih terasa saat-saat aku hampir putus asa dengan papan itu tapi dorongan komrad membantu. Yang pasti belum ada kejayaan lagi. Kejayaan menunggu aku di hadapan. Barangkali. Aku akan terus kayuh selamanya. Janji.


Awal 2011 satu tindakan yang aku sangka akan mengubah kitaran hidup aku selamanya. Aku cuba berlagak untuk menyertai pergerakan rempit-rempit se Malaysia. 125zr hitam baru. Syukur usaha aku gagal. Ternyata rempit tidak ada soul. Aku bukan macam itu. Akhir-akhir ini aku bercadang hendak merealisasikan impian jaman sekolah aku dimana aku butuh kan sebuah vespa. Aku minatkan kenderaan klasik ini. Mohon hajat aku ini termakbul. Aku mahu jadi penunggang kenderaan klasik berjaya. Mudah-mudahan.


rokenrol.
Kalau bercerita tentang perisian komputer. Aku lebih banyak terjebak dengann adobe photoshop. Aku suka memanipulasi, berimaginasi sendiri. Mungkin naluri kanak-kanak aku masih utuh. Kuat berimaginasi. Lain-lain aku menceburkan diri dalam virtual dj dan tidak ketinggalan sony vegas. Kesemua perisian itu dapat melahirkan idea imaginasi aku ke bentuk media. Untuk dikongsi. Untuk dikomen.


Walaupun aku bersikap "semua dia nak" ingin aku tegaskan disini aku bukan poser. Aku bukan poser (kecuali cubaan aku untuk jadi mat rempit tu). Aku lakukan kerana minat. Kerana kepuasan. Aku tak peduli orang cakap sebab ternyata bukan mereka yang tentukan siapa aku dahulu sekarang dan masa hadapan. Syamil itu sendiri yang membentuk diri aku.


wewwwit.


Ternyata nama memang memberi kesan yang besar kepada tuan punya badan. Jadi kepada bakal-bakal pengeluar zuriat keturunan akhir jaman kau digalakkan beri nama yang indah kepada zuriat kau.


Selamat tahun lompat semua ! marilah melompat.

Tuesday, February 7, 2012

idealogi karat#1

Hidup jangan berlebih menghulur,
Nanti yang dihulur hilang harga,
Yang menadah hilang hormat.

Wednesday, February 1, 2012

KertasTerbang#5 Avril Lavigne The Black Star Tour Malaysia 2012

Poster curi dari laman sosial facebook.





Tajuk :  Avril Lavigne The Black Star Tour Malaysia 2012
Tukang anjur : Tune Talk.
Bila : 18 Februari 2012 (Sabtu)
Dekat mana : Stadium Merdeka.

Tiket untuk dijual.Murah-murah.
Tiket Rockzone untuk dijual.Harga asal RM198 akan ditolak pada harga RM160.
Nego sampai jadi.Untuk keterangan lanjut hubungi aku disini.Terima kasih.


Semua para-para peluncur papan selaju diminta bersedia.
Mari berjoget ? 

Monday, January 30, 2012

Janji Tahi.

Berkait rapat dengan tajuk entry sememang aku nak cerita perihal janji. Ade sejenis manusia (termasuk aku kadang kala) kalau berjanji memang tak nak kalah. Apa yang tak boleh di bolehkan saja. Makan tahi kering pun boleh. Mungkin berniat nak jaga hati. Akhir sekali habuk pun tak ada.


Tapi persetan dengan jaga hati kalau tak sampai sehari kau dah khianat janji tahi kau. Kau jangan ingat aku tak tahu. Mendadak aku jadi radang. Aku berang dalam diam. Buat-buat telan tapi aku tak hadam. Buat aku tak ubah macam pariah-pariah yang senang kau auta kan dengan janji tahi kau. Celaka. Aku tak pandai tunjukkan baran dengan kau. Tapi suara dalaman aku dah menjerit nak maki hamun kau.

Penjanji tahi.
Si penjanji tahi, aku nak tanya, mana kau letak nilai persahabatan kau sial? Celah mana? Atau kau memang tak pernah belajar nilai tu? Babi.


Janji dah termetrai walau aku tahu kau memang penjanji tahi berdasarkan rekod lampau. Janji gentle khabar kau seghairahnya kali ni. Aku bagi peluang. Tapi kau kena ingat dah ratusan kali aku bagi peluang dekat kau. Tapi tahi jugak. Cerita kau tak pernah nak betul. Fantasi. Aku rasa masalah kau, kau yang tak pernah bagi peluang dekat diri kau nak berubah. Semangat kau hangat-hangat tahi ayam. Pemalas macam babi.


Aku tetap terikat dengan janji. Aku cakap aku buat. Kau lagi pentingkan benda alah setan tu dari kawan kan ? Aku terima saja. Kau yakin boleh terbang sampai sorga dengan benda alah setan tu, kau teruskan. Kau perhambakanlah diri kau dekat benda alah setan tu. Tapi jangan harap aku nak jumpe kau. Jijik. Meluat. Pathetic sungguh hidup kau. Sampai ada orang awam sangka aku bawak budak OKU jalan-jalan. Sadis. Kepala hotak kau lah. Orang pandang sinis dekat kau, kau tahu tak sial ? Bodoh.


Aku harap si penjanji tahi ni baca.

Friday, January 20, 2012

Kimpal Kisar Larik.

Aku bernafas sempurna. Menghirup bahagia semester ini. Mungkin bagi aku ilmu elektrikal dan ilmu hisab yg keterlaluan semester-semester lalu menyumbatkan salur penafasan aku. Aku tak menyalahkan ilmu. Memang itu tanggungjawab aku. Aku redah dengan seribu semangat dalam jiwa. Cuba untuk jatuh cinta pada mereka.

Aku senyum sempurna. Senyum pada ilmu mekanikal yang mula menerjah semester ini. Mungkin ini peluang aku untuk molek kan semula kedudukan pointer yang mana menjadi kayu ukur pada setiap mahasiswa. Tidak lupa juga menggembirakan bonda dan nenda. Ilmu mekanikal memang bidang aku sejak dari bangku sekolah. Maklum lah aku sekolah teknik jurusan mekanikal pula tu. Mana tak melompat aku bila dapat kembali semula.

Misteri pengimpal bersiri. KAH KAH KAH
Struktur mesin, worksyop mekanikal dan autocad antara yang tersenarai untuk semester ini. Ilmu elektrikal tadi tidak hilang begitu saja masih ada lagi sambungan nya kali ini. Malah tampil lebih ekstrim dari versi terdahulu. Namun seribu semangat tak mudah luntur. Gagah aku teruskan langkah.

Yang aku nak ceritakan kali ini adalah pengalaman aku di worksyop mekanikal. Worksyop ini secara teknikal nya tebahagi kepada tiga. Milling. Welding. Lathing. Pengalaman baru aku cuma pada worksyop Lathing sebab masa dekat sekolah dulu mesin ini tak tersedia. Welding dan milling dah ada pengalaman. Jadi nya aku semacam ghairah yg teramat bila worksyop lathing. Memandangkan pada jam credit yg kecil, kelas aku hanya diberi peluang sekali sahaja untuk menyempurna kan projek pada setiap worksyop. Kerjasama sangat ditagih ketika ini. Lelaki-lelaki gagah menggunakan kesempatan ini untuk ketengah kan bakat HERO semulajadi mereka kepada wanita-wanita cantik yang bilangan nya tak seberapa itu. Aku turut tak ketinggalan berlagak seperti aku lah lelaki gagah seperti dalam filem-filem hindustan yg mereka dambakan. Terima kasih Tuhan. Ketiga worksyop sudah selesai. Aku harap kan yang terbaik.

*pause
Dan apa yang mengirangkan hati aku adalah worksyop mekanikal tak perlu menduduki peperiksaan akhir.hewhewhew seronoknya !
*unpause





Thursday, January 12, 2012

KertasTerbang#4 Vans King Of Gap & SP Get Your Heart On! Tour

Poster diambil dari skatemalaysia.

Tajuk : Vans King Of Gap
Tukang anjur : Vans 
Bila : 14 Januari 2012 (Sabtu)
Dekat mana : Cap Square KL
Info : skateboarding-malaysia.blogspot.com




Poster di curi dari FB.
Tajuk : Simple Plan Get Your Heart On! Tour.

Tukang anjur : Tune Talk.
Bila : 14 Januari 2012 (Sabtu)
Dekat mana : KL Live
Info : FB Tune Talk.


Aktiviti hujung minggu.Mari berjoget !

Terus-menerus bersama KertasTerbang yang seterusnya.
Usah biarkan hidup anda diselebungi kapal terbang kertas !

Terimakasehdaonkeladi. :)

Wednesday, January 11, 2012

Selamat Datang 2012

Mungkin masih belum terlambat untuk ucapan Selamat Tahun Baru. Jadi rugi rasanya di tarikh yg masih mentah ini jika aku x menulis sesuatu. 
Minggu pertama Januari 2012 sememang sibuk. Ujian dan assignment semacam mencemburui aku. Mereka semacam xmemberi aku peluang untuk mengecap bahagia tahun baru itu sepuasnya.


*pause
ade ke bahagia tahun baru? hewhewhew 
*unpause


Tapi biasa lah kita-kita ini, kalau setakat assignment mesti xkan sah tanpa ada unsur plagiarisme lagi-lagi kalau di waktu-waktu genting bila dilaksanakan pada saat-saat akhir. Aku memang jenis yang macam ini. Cuma terkadang muncul keajaiban bila mana aku mampu menyudahkan assignment awal dari deadline yg ditetapkan pensyarah. Tapi sayang hanya untuk Autocad sahaja.



Cukup cerita assignment dan ujian. Yang utama disini aku tekankan. Mari ikut aku lakukan ini.
Tutup mata kau.
Mari kita rentas terowong masa.
Mari kita selam suka duka yg lepas.
Mari kita selam pahit manis yg lepas.
Bukan untuk berduka bukan juga bersuka-suka tersenyum sendiri, tapi mari kau dan aku fikirkan sesaat.
Apakah cerita itu sudah cukup memenuhi azam kita ? Maksud aku azam tahun sebelum ? Adakah matlamat sudah dicapai ?


Kalu sudah, tahniah kalau belum jangan mengalah. Perjuangkan. Aku persetankan manusia yg xpunya azam, yg memandang azam itu sekadar perkara tipikal untuk tahun baru yg mana tiada nilai estetika bagi mereka. Bagi aku azam itu indah. Manusia yg berazam pasti punya aura penuh semangat untuk terus berjuang dalam medan kehidupan ini.


Tahniah buat mereka yg punya azam.
Bagi yg belum aku gesakan kau cari lah walaupun satu.


*contoh
kumpul 20 sen sehari untuk 2012, berus gigi 3kali sehari, kurangkan surf porno dan sebagainya yg kau fikirkan wajar untuk perbaiki diri kau. Azam 2012 aku nanti aku cerita entry lain.


Sekali lagi,
Selamat tahun baru,
Selamat pasang azam baru.